Tuesday, April 24, 2012

KEMBALINYA ADIK NURHIDAYAH MENEMUI ALLAH S.W.T

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kembalinya Adik Nurhidayah menemui Allah s.w.t, doa dari kami semoga arwah adik nurhidayah ditempatkan dikalangan parah solehah.. amin ,, Al-Fatihah




Berita Harian Online - Nasional



Meninggal selepas dua bulan koma jatuh parit


2012/04/24

CHUKAI: Selepas lebih dua bulan bertarung nyawa akibat lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air di Kampung Mak Cili, dekat sini pada 14 Februari lalu, Nur Hidayah Mohammad (atas), 7, menghembuskan 
nafas terakhirnya di Hospital Kemaman (HK) jam 6.52 petang kelmarin. 
Bapanya, Mohammad Embong, 48, berkata keadaan menimpa anaknya agak mengejutkan kerana sejak kelmarin arwah sudah menunjukkan perkembangan positif selepas dimasukkan semula ke hospital pada 2 April lalu akibat sawan. “Doktor memaklumkan Nur Hidayah boleh dibawa balik petang ini (kelmarin) selepas mendapati keadaannya pulih daripada demam akibat jangkitan di paru-paru.

“Namun, ketika saya datang pagi tadi (kelmarin) menghantar sarapan untuk isteri (Norizan Zakaria, 42), arwah kelihatan semakin lemah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, HK, semalam. 

Beliau berkata, kebiasaannya Nur Hidayah melawan pernafasannya yang tersekat dengan mengangkat tangan, namun pagi tadi (semalam) dia seolah-olah sudah tidak bertenaga. 

“Kira-kira jam 4 petang, isteri menelefon memberitahu keadaannya semakin nazak. Saya bergegas ke hospital dari tempat kerja,” katanya sambil menahan sebak. 
Berita Harian sebelum ini melaporkan, Nur Hidayah koma akibat lemas terjatuh ke longkang berhampiran tempat ibunya berniaga di Kampung Mak Chili pada 14 Februari lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. 

Selepas dua minggu, pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok Dua itu sedar daripada koma dan dibenarkan pulang untuk dirujuk ke Hospital Kemaman. 

Nur Hidayah sekali lagi dimasukkan ke HK pada 2 April lalu selepas terkena sawan akibat paru-parunya dijangkiti kuman. 

Selepas 20 hari di hospital, keadaannya semakin baik sebelum tiba-tiba kembali merosot pagi kelmarin dan meninggal dunia.


Webmaster